Darurat, Dewan jadi modal misi ‘Do or Die’ untuk jatuhkan Muhyiddin
Rancak sungguh pembangkang ‘serangan bertubi-tubi’ Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan pengisytiharan darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Macam-macam mereka cakap, beri nasihat salah la, Perdana Menteri nak selamatkan kuasa politik beliau lah,Muhyiddin takut pi Dewan Rakyat lah, Muhyiddin ‘bunuh’ demokrasi lah dan macam-macam lagi.
Buang masa sahaja beri penjelasan sebab dalam kepala otak mereka sudah set, darurat mesti ditolak, darurat ni bertujuan politik dan paling penting darurat ni boleh jadi modal politik! Itu saja.
Walaupun tahu pengisytiharan di bawah Fasal-Fasal 150 (1) dan 150 (2) tidak boleh dicabar di mahkamah, mereka nak cabar juga, sebab tahu ini salah satu cara untuk dapat publisiti, nak wujud persepsi kat rakyat Muhyiddin salah guna kuasa, nak tunjuk mereka masih wujud, bila tahu rakyat dah tak peduli apa mereka buat.
Mereka bukan marah sangat kat darurat tu, tapi marah sebab tak boleh ada sidang Dewan Rakyat. Maklumlah masing-masing dah atur strategi untuk jatuh Muhyiddin. Sepatutnya sidang Mac inilah peluang terbaik sebab rasa Perdana Menteri dah tak ada majoriti.
Jadi yang dok cita-cita lama dah nak jadi PM atau bermimpi nak lagi jadi PM atau merancang nak jadi PM, rasa ni lah saat terbaik. Tiba-tiba Muhyiddin isytihar darurat, apa lagi menggelupur la.
Takut dituduh tak hormati Yang di- Pertuan Agong mereka ubah sikit nada kepada ‘memberi nasihat yang salah’, pandai jugak puak-puak ini.
Yang mereka tak hebohkan ialah Agong membuat keputusan selepas mendengar taklimat, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Pengarah Kesihatan.
Dulu Seri Paduka pernah tolak apabila Perdana Menteri usul darurat kerana keadaan belum kritikal. Sekarang Seri Paduka perkenankan sebab situasi semakin parah. Kes semakin naik, negara kena beri tumpuan memerangi musuh tak nampak ini, kena atur strategi, bukannya buang masa layan puak-puak yang ‘meroyan tak habis’ selepas hilang kuasa.
Kan dah kata, bila Covid-19 reda buatlah pilihan raya tetapi mereka tak nak, desak juga Parlimen bersidang kononnya untuk beri pandangan macam mana nak ‘perang’ dengan Covid-19, sebenarnya niat tu lebih banyak ‘nak perang rebut kuasa’.
Kalau betul nak tolong kerajaan, jangan banyak alasan, masuklah Jawatankuasa Khas yang Agong dah perkenan ditubuhkan.
Dalam jawatankuasa tu bagilah pandangan, lagipun pembangkang kan ada bekas Menteri Kesihatan dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, jadi tak perlulah sidang Parlimen baru nak bercakap.
Satu lagi, beberapa hari ini tercetus pula soal pembinaan dewan orang ramai di Pagoh. Mereka pertikaikan dewan jenis apa sampai harga RM35.43 juta. Bila Pejabat Perdana Menteri kata peruntukan tu bukan untuk satu dewan tapi tiga dewan, mereka persoal pula kenapa buat semasa negara dilanda Covid.
Yang seronok tengok tu, ada seorang pemimpin kanan pembangkang tu kata peruntukan tersebut boleh bina 10 buah masjid. Seorang lagi Ahli Parlimen dari Kedah pula kata dia nak tahu apa yang ada dalam tiga projek dewan itu di Tangkak (RM13 juta), Bukit Pasir, Muar (16.6 juta) dan Pusat Komuniti Bukit Kepong, Muar (RM5.7 juta).
Penulis bersetuju dengan beliau supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) memperincikan apa ada dalam dewan tersebut dengan kos yang didakwa terlalu tinggi.
Bagaimanapuh kita jangan lupa, beberapa kilometer dari kawasan Ahli Parlimen tersebut, tersergam indah Dewan Wawasan yang dibina dengan kos RM30 juta.
Ia boleh memuatkan 5,000 tetamu, kemudahan untuk orang cacat, sembilan gelanggang badminton, perpustakaan, makmal komputer dan auditorium 200 tempat duduk.
Dewan itu dibina pada tahun 2002. Satu lagi contoh, penulis terbaca satu laman web sebuah persatuan penduduk memohon sumbangan bagi membina sebuah dewan serbaguna berharga RM2.3 juta pada tahun 2015 – tu lima tahun lepas.
Jadi biarpun ketika ini banyak lagi isu kerajaan kena urus tapi bagus juga kalau JKR boleh perincian kenapa harga banyak tu dan macam mana kontraktor dipilih.
Penjelasan ini penting sebab bila pembangkang dah muflis modal politik, mereka akan cari apa saja untuk dipolitikkam. Yang menariknya ada juga konco-konco pemimpin dalam UMNO turut main isu dewan, tapi tak apalah nak buat macam mana, itu sahaja ‘kehebatan’ yang dia ada, walaupun pilihan raya pun kalah.
Kesimpulannya, dalam keadaan terdesak, isu 2 D (Darurat dan Dewan) digunakan habis-habisan kerana pembangkang dan penentang Muhyiddin tahu inilah waktu paling tepat buat misi ‘Do or Die’ (2 D), lagipun kalau buat pilihan raya belum tentu menang.