Asri Janggut Dipanggil ke Bukit Aman Esok. Tapi Lain Pula Tindakan ATM
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima permohonan maaf peniaga burger yang tular baru-baru ini, Asri Janggut, atas kenyataannya bahawa kebanyakan polis dan askar tidak menjaga solat.
Meskipun menyifatkan kenyataan itu keterlaluan dan mengguris hati warga ATM yang beragama Islam, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Affendi Buang (TUDM) dipetik ATM sebagai berkata bahawa manusia biasa memang tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan.
“Oleh yang sedemikian, ATM mengambil pendekatan menerima permohonan maaf individu berkenaan yang disiarkan juga di media sosial PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia) pada 12 Ogos 2020.
“Semoga apa yang berlaku dapat dijadikan sebagai satu pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa peka dan berhati-hati di dalam mengeluarkan kenyataan, pendapat, pandangan mahupun apa jua ulasan […]” kata ATM dalam satu kenyataan hari ini.
Maaf dapat memberi ketenangan
Kata ATM, kemaafan akan dapat memberikan ketenangan bukan saja buat si pesalah, tetapi juga buat orang yang memaafkan kesalahan berkenaan.
Namun, ATM berpesan agar semua pihak berhati-hati mengeluarkan kenyataan, dengan memetik pesanan Rasulullah SAW dalam satu hadis agar manusia menjaga “apa yang ada di antara tulang dagu (mulut dan lidah) dan antara dua kakinya (kemaluan)” bagi mendapat jaminan syurga.
“Awasilah dalam berkata-kata. Jangan disebabkan tergelincir dan kelembutan lidah yang tidak bertulang menjadi punca dosa dan dimasukkan seseorang ke dalam neraka.
“ATM berharap agar perkara seumpama ini tidak akan berulang di masa mendatang dan menyeru masyarakat untuk tidak membangkitkan lagi perkara ini di khalayak umum bagi menjaga keharmonian semua,” kata ATM lagi.
Asri atau nama sebenarnya Mohd Asri Hamid menjadi perhatian apabila video rakamannya tular memaparkan apa yang didakwa sebagai penguatkuasaan berat sebelah terhadap penjaja di Sungai Buloh, Selangor.
Dakwanya, penjual rokok seludup dan pemilik pusat judi haram tidak dikenakan tindakan oleh penguatkuasa. Ia mengundang perdebatan hangat di media sosial.
Susulan itu, polis membuat serbuan di Sungai Buloh, manakala beberapa penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan atas dakwaan menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.
Namun, tidak lama selepas itu, nama Asri meletus sekali lagi di media sosial apabila satu lagi video tular yang memaparkan dia mendakwa kebanyakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta ATM tidak menjaga solat masing-masing.
Ekoran itu, polis membuka dua kertas siasatan ke atasnya.
Asri bagaimanapun telah memohon maaf secara terbuka, dengan menyifatkan kenyataannya sebagai silap jahil, bodoh dan celupar.
“Saya memohon jutaan maaf kerana saya tidak jangka boleh cakap macam itu… mereka adalah pembantu negara, saya sekali lagi memohon maaf kerana Allah, maafkan atas segala kesilapan saya.
“Saya mengakui kebodohan, kesilapan saya dan reda atas apa yang berlaku, sekali lagi saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya PDRM dan ATM,” katanya
Dalam pada itu pemilik Hot Buger Asri Janggut mengucapkan penghargaan kepada ATM
” Bismillah… Allhamdulilah semoga Allah muliakan pasukan ATM.. terima kasih Panglima atas kelembutan hati.. Semoga Allah Muliakan Panglima Didunia dan diakhirat,”
Asri Perlu Ke Bukit Aman Pagi Esok
PENGASAS Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali Asri Janggut diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, jam 10 pagi, esok.
Ia dipercayai susulan dakwaannya bahawa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menjaga solat.
Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid yang berkata, Asri Janggut disiasat mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Asri Dapat Panggilan
Sementara itu, Asri Janggut berkata, pegawai polis dari Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman menghubunginya jam 1 tengah hari tadi memaklumkan perkara itu.
“Saya mendapat panggilan daripada pegawai (polis) Bukit Aman untuk diambil keterangan jam 10 pagi esok. Saya akan hadir bersama peguam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Semalam, sembilan kali perkataan maaf diungkapkan Asri Janggut selepas mencetuskan kontroversi apabila mendakwa anggota polis dan tentera tidak menjaga solat.
Asri Janggut membuat permohonan maaf itu menerusi rakaman video tular menggunakan platform Facebook (FB) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Permohonan maaf itu susulan rakaman video kenyataan beliau yang sekali lagi mencetuskan kontroversi dan perdebatan di media sosial apabila mendakwa kebanyakan anggota polis dan tentera tidak menjaga solat.
Terdahulu, Asri Janggut mula popular selepas pendedahannya mengenai kedai judi dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh yang mendapat perhatian semua pihak.
Antara yang memberi reaksi segera selepas pendedahan itu termasuklah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).